Khamis, 22 Mac 2012

NGO Pimpin Kuasa Ketiga: Mohamad Raimi

Semenjak kebelakangan ini, peranan Pertubuhan Bukan Kerajaan ataupun NGO semakin mendapat perhatian dari pihak kerajaan mahupun masyarakat awam. Senario ini secara langsung menggambarkan NGO telah diiktiraf sebagai salah teras utama dalam proses pembinaan negara dan masyarakat di negara ini. Justeru usaha penghakupayaan untuk membolehkan NGO mengembangkan peranannya perlu digembleng terutama sekali di kalangan pihak berwajib.

Cadangan ini selari dengan perkembangan trend antarabangsa yang menyaksikan pihak kerajaan serta para pembuat dasar secara aktif menawarkan ruang untuk NGO berkongsi pandangan serta mengemukakan kritikan secara konstruktif sebagai input penggubalan serta perlaksanaan sesuatu dasar.

Selaras dengan peranan yang boleh dimainkan NGO selaku Rakan Pembinaan Negara (Partner in Nation Building), pihak kerajaan mahupun pembangkang di negara ini seharusnya mengamalkan pendekatan terbuka serta akomodatif terhadap sebarang saranan serta kritikan yang dikemukakan oleh NGO terhadap mereka. Sebarang saranan serta kritikan konstruktif seharusnya ditanggapi secara positif dalam konteks menambah baik dan memastikan kelangsungan proses pembangunan negara secara demokratik,lestari dan mapan.

Dalam pada itu, NGO juga harus mengamalkan pendekatan objektif dalam mengemukakan sumbang saran kepada pihak kerajaan. NGO seharusnya menjunjung tinggi nilai moral, etika dan budaya dalam menilai serta merangka sesuatu pandangan tanpa dipengaruhi dengan anasir-anasir bersifat partisan dan mengabaikan sensitiviti yang sedia ada di negara ini. Demokrasi merupakan esensi penting pembinaan negara. Justeru kebebasan bersuara serta meluangkan pandangan perlu diraikan secara demokratik dan akomodatif.

Perkembangan gerakan masyarakat sivil global dan tempatan seharusnya dimanfaatkan NGO tempatan, yang akan memainkan peranan penting sebagai agen penggubal serta pelaksana kuasa ketiga di negara ini, dengan menghormati lunas undang-undang yang telah ditetapkan, menolak budaya yang tidak secocok dengan masyarakat timur serta menolak sebarang pendekatan yang agresif dan ganas.

Penulis (Mohamad Raimi Ab Rahim), adalah Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka Bandar


- Posted using BlogPress from my iPad