Rabu, 20 Jun 2012

ABIM Kesal Parlimen Tolak Bincang Usul Syria


14 Jun 2012:- Semenjak 12 Januari 2012 yang lalu ABIM telah melancarkan kempen Selamatkan Syria “Save Syria” dan telah menganjurkan beberapa demonstrasi aman dan penyerahan empat memorandum bantahan kepada kedutaan Syria. ABIM juga telah menemui dan berbincang dengan tokoh penting seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan juga ahli politik seperti YB Khairy Jamaluddin serta mengadakan flashmob, bantuan kemanusiaan di sempadan Turki-Syria, pameran-pameran kesedaran serta taklimat berkaitan konflik di Syria.

Di samping itu juga, ABIM  bersama-sama rakan-rakan NGO Gabungan Selamatkan Syria seperti IKRAM dan HALUAN telah berusaha untuk membawa usul konflik di Syria ini ke Parlimen agar dibincangkan dan diangkat bagi menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap keganasan yang berlaku di Syria dan usaha-usaha untuk menghentikan keganasan.

Namun begitu, ABIM melahirkan rasa kekecewaan kerana usul ini telah ditolak mentah-mentah oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Pandikar Amin Mulia atas alasan menjaga hubungan diplomatik yang telah wujud di antara kerajaan Malaysia dan Syria selama ini. Umum telah mengetahui rakyat Syria semenjak 15 Mac 2011 menuntut perubahan secara aman berlangsung di negara ini.
Namun hasrat mereka dinafikan serta dibalas dengan keganasan yang berterusan dari hari ke hari dan yang terbaru serangan dilakukan terhadap penduduk di Bandar Houla yang mengorbankan sekurang-kurangnya 100 orang dan hampir separuh daripada mangsa adalah kanak-kanak dan termasuk minoriti Syiah.  Sehingga kini tiada pernyataan pendirian tegas  serta jelas daripada kerajaan Malaysia mengenai konflik tersebut dan kerana itu ABIM menggesa untuk usul berkaitan konflik di Syria ini diangkat semula ke Parlimen untuk diperbincangkan dan perbahaskan.

Justeru, tindakan menolak perbincangan usul konflik Syria ini di Parlimen seakan-akan menggambarkan sikap tidak serius kerajaan dalam menghentikan keganasan yang berlaku dan seolah ‘menghalalkan’ pembunuhan berterusan khususnya terhadap rakyat yang tidak berdosa teruatamanya kanak-kanak dan wanita dilakukan oleh regim Bashar al-Assad mahupun pihak asing yang cuba melaga-lagakan kedua-dua pihak.

Dikhuatiri sekiranya keadaan ini berterusan, ia akan mengundang campurtangan kuasa asing yang diketahui umum mempunyai agenda dan kepentingan tertentu sebagai mana yang berlaku di Libya serta Iraq. Sesungguhnya ABIM menolak sekeras-kerasnya campurtangan asing di Syria serta mengharapkan konflik yang berlaku diselesaikan secara rundingan oleh kedua-dua pihak bertelagah.

Sebagai sebuah negara Islam yang menerajui harapan umat Islam seluruh dunia, Malaysia seharusnya memimpin negara-negara Islam yang lain kehadapan dalam menyelesaikan konflik berdarah yang berlarutan melewati fasa perang saudara ini. Peranan Malaysia amat ditagih untuk menyelesaikan konflik ini

Kami juga ingin memaklumkan bahawa beberapa negara Timur Tengah utama Turki, Saudi Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain, Oman, Kuwait telah menghalau duta Syria (serta memanggil pulang duta mereka dari Syria). Protes global ke atas tragedi kemanusiaan di Syria juga telah mendorong Amerika Syarikat, Australia, Britain, Jerman, Itali, Sepanyol, Perancis dan Kanada telah mengusir diplomat Syria dari negara.

Mengamati situasi ini, ABIM juga telah mengusulkan kepada Parlimen melalui ahli Yang Berhormat agar kerajaan Malaysia perlu memulakan protes bantahan dengan menghalau Duta Syria di Malaysia kerana Kerajaan Bashar al-Assad setakat ini gagal menghentikan keganasan serta gagal berhenti memerangi rakyatnya dengan cara yang amat kejam dan tidak berperi kemanusiaan.

ABIM akan terus konsisten memperjuangkan nasib rakyat Syria dan nasib Umat Islam lain yang tertindas. Keputusan menolak usul konflik Syria untuk dibawa ke Parlimen merupakan satu tindakan yang tidak wajar dan harus diambil berat oleh semua pihak. Sesungguhnya nyawa manusia yang tidak berdosa lebih jauh bernilai dan berharga dari sekadar hubungan diplomatik yang belum tentu menjamin keuntungan bagi pihak Malaysia.