Rabu, 20 Jun 2012

Kerajaan Syria sudah bunuh 60,000 rakyatnya


SHAH ALAM: Sejak 40 tahun memerintah Syria, regim Basyar telah membunuh seramai 60,000 orang di tidak kurang daripada 100 tempat di seluruh negara itu.

Demikian beritahu seorang ulama Syria yang juga pembantu khas kepada Dr Yusuf Al-Qardhawi, Dr Khaled Hindawi (gambar) dalam satu syarahan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam baru-baru ini.

Syarahan itu dibuat beliau dalam rangka lawatannya ke Malaysia. Syarahan itu bertajuk  'Syria: The Inside Story'  anjuran Ikram, Abim dan Haluan.

Ceramah yang diterjemahkan oleh Ustaz Abdul Muhaimin Mohd Sahar dengan dihadiri lebih 2,000 jamaah.

Dr Khaled merakamkan penghargaan atas keprihatinan rakyat Malaysia berkenaaan isu Syria.

Menurutnya, pembunuhan terhadap golongan dewasa, wanita dan kanak-kanak dilakukan  oleh golongan yang menentang Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) sejak 40 tahun yang lalu.

(Mangsa kekejamanan kerajaan Basyar di Syria)

Terkini, rakyat bangun dengan lebih bersemangat bila ditindas ditambah lagi dengan para tentera Syria yang berpaling tadah meninggalkan rejim ini yang mencecah 200,000 orang.

Beliau menterjemahkan "iman kita ibarat muslim yang satu jasad menentang rejim yang zalim ini."

“Pemerintah yang bertamadun ialah yang adil bukan yang menindas dan memenjarakan saudaranya,” ujarnya.

Katanya, meskipun rejim ini mendakwa kononnya mereka menentang Yahudi, sejak 40 tahun lalu, rejim ini tidak pernah bunuh walau seorang Yahudi pun malah kini telah menghalakan senjata mereka dan membunuh 60,000 rakyat yang tidak berdosa.

Tambah Khaled, PM Israel Benjamin Netanyahu pernah berkata bahawa Basyar Al-Assad merupakan orang yang dikasihinya seperti mana mereka kasihi ayahnya (Hafez Al-Assad) yang kekal membawa kebaikan dan kemaslahatan kepada Israel.

Mengatakan mereka berjuang melawan Israel merupakan satu penipuan, tegas Khaled.

Baru-baru ini, di perkampungan bernama Hawlah, seramai  150 orang disembelih, dicincang termasuk 50 orang kanak-kanak.

Ujarnya, rejim ini telah dibantu oleh Russia serta beberapa pihak lagi yang ingin menghapuskan rakyat ASWJ.

Menurut beliau lagi, ada menara masjid yang ditembak rejim, di tempat bernama Dar’a, negeri kelahiran Imam An-Nawawi dan ada juga rakyat yang ditanam hidup-hidup kerana tidak mahu mengatakan “Tiada Tuhan melainkan Assad”.

Pimpinan IM Syria, Dr Amer Abu Salamah (gambar kiri) pula menambah, rakyat Syria menampakkan keberanian mereka hingga sanggup berkorban dan syahid, ribuan mereka yang cedera dan lebih 2 juta menjadi pelarian.

Sungguhpun Allah SWT berfirman bahawa orang beriman itu bersaudara, namun demikian katanya, hanya dengan ucapan sahaja tidak memberi manfaat kerana ia juga menuntut pengorbanan daripada semua bersama-sama dengan rakyat Syria.

Menurut beliau, amat bahaya bila ada yang mengatakan “Kami tiada apa-apa kaitan dengan apa yang berlaku di Syria, itu masalah mereka“ sedangkan umat Islam  merupakan jasad yang satu, umat yang satu.

Katanya, umat Islam amat simpati dengan apa berlaku di Gaza dan memang wajib mereka membantu umat Islam di Gaza.

Beliau turut mencetuskan persoalan yang mengheningkan suasana:

“Kini berlaku di pelbagai tempat di Syria seperti mana yang berlaku di Gaza. Di manakah saudara-saudara Islamku yang telah membantu saudaranya di Gaza?
"Takutlah Allah, hendaklah kamu bersama dengan anak yatim yang dizalimi, mata dikorek, leher mereka dikapak.”

Tambahnya, Kesatuan Ulama Sedunia yang berjumlah 50,000 yang diketuai oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi turut menyokong rakyat Syria dan mengatakan kewajipan umat Islam membantu rakyat Syria.

Jemaah yang hadir turut dipertontonkan dengan gambar dan video kekejaman rejim Basyar membunuh rakyatnya.

- Harakahdaily