Khamis, 16 Februari 2012

Valentine Day: Demi Cinta, Kerana Cinta?

“Biarlah dia pilih jalan hidup sendiri. Kami dah penat!”, itulah luahan seorang ahli keluarga kepada seorang remaja wanita yang lari mengikut teman lelakinya. Tiada ibu bapa didunia ini yang mahukan anak-anaknya menjalani kehidupan yang susah. Semua ibubapa mengharapkan anak-anaknya menikmati kehidupan yang bermakna, bahagia dan seiring redhoNya. Lantaran itu, ibubapa akan kerap menasihati, memberi bimbingan supaya anak-anak tidak tersilap pilih jalan.

Namun, semua impian hancur bila anak gadis mula mengenali dunia cinta. Kekadang semua pesanan dan nasihat ibubapa dilupakan begitu sahaja. Kerana mengejar cinta seorang lelaki yang terbukti tidak jujur, keluarga disisihkan, ibubapa diabaikan, perasaan keduanya dilukai. Habis puas dinasihati oleh ibubapa dan ahli keluarga, namun semuanya ibarat mencurah air di daun keladi, masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Sudahnya, remaja wanita tersebut mengambil keputusan melarikan diri walau diri telah didera, dilukai oleh lelaki yang kononya cinta sejatinya.


KERANA CINTA ITU, MATA HATI BUTA.

Lantaran kuasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada si lelaki, maruah diri diserahkan tanpa segan silu walau tiada sebarang ikatan yang menghalalkan persetubuhan. Daripada penzinaan tersebut, terhasil seorang janin yang sedang membesar di rahim si remaja wanita tadi. Diri dipukul, dikurung, duit ditipu, tidak sekalipun memberi keinsafan kepada remaja wanita tersebut. Cinta terhadap sang lelaki tetap utuh disanubari. Kerana cinta itu, mata hatinya buta untuk menilai antara kaca dan permata.

Ini merupakan ilustrasi kejadian benar yang menceritakan kepada kita gejala gadis melarikan diri kerana cinta. Menariknya, 99.9 peratus kes hilang kerana cinta adalah melibatkan golongan perempuan,namun ada juga sebilangan lelaki lari mengikut kekasih. Kesemuanya melibatkan golongan bumiputera bukan Islam. (Kosmo Online, 22 Jun 2009). Mengikut sebuah laporan, setiap hari dua orang gadis lari ikut kekasih. Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Cawangan Hal Ehwal Awam PDRM, daripada 25,243 orang dilaporkan hilang lima tahun lalu, seramai 3,957 atau hampir 16 peratus membabitkan kes mengikut kekasih. (ibid.)

Tambahan lagi, remaja wanita Melayu lingkungan 14 hingga 17 tahun merupakan penyumbang terbesar kepada satistik gadis hilang di Malaysia pada tahun 2000 hingga 2006. Gadis hilang demi cinta merupakan faktor utama kehilangan di Negara ini sejak kebelakangan ini. Ini sudah tentu merupakan perangkaan yang merisaukan kerana gadis hilang kerana cinta tersebut mungkin terpedaya dengan tipu muslihat kekasih hati yang ingin menjerat mereka ke lembah pelacuran, jenayah rogol, bersekedudukan dan lain-lain.


KELEMAHAN JATI DIRI SEBAGAI PUNCA UTAMA

Bukan sedikit jumlah remaja wanita yang tertipu dengan pujukan manis sang lelaki yang tidak bertanggungjawab. Dimana silapnya? Walau dibentang puluhan sebab-musabab sekalipun, pokok pangkal kepada gejala ini adalah kelemahan jati diri sebagai Muslimah khususnya.

Jati diri sebagai Muslimah berdiri diatas asas yang rapuh. Iman senipis kulit bawang terus-terusan dibiar sehingga mudah sekali dirobek dengan satu kali sentuhan. Kewajipan dan tuntutan agama diabaikan. Putus asa, kecewa dan tidak yakin menghiasi pembinaan karekter diri. Akibatnya, hidup dipandu dengan emosi dan nafsu yang menghancurkan diri. Maka apabila dihujani dengan pujuk rayu cinta duniawi, diri tersungkur menyembah bumi dan kerana diturutkan kata hati, badan binasa habis dilukai.

Berbahagialah menjadi muslimah sejati. Menutup aurat, tuntutan rukun iman dan Islam dilaksana dengan penuh keikhlasan. Diri dihiasi adab sopan yang tinggi, yakin diri, rajin menuntut ilmu barulah akan terlahir jati diri yang kuat. Walau ditiup angin kencang dugaan dan pujuk rayu, semuanya mampu ditepis dengan keimanan yang tidak berbelah bahagi kepada Rabbul ‘izzati. Hati tetap teguh, “AKU MAHUKAN REDHO ALLAH DALAM KEHIDUPAN SINGKAT INI.” wallahu’alam.



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka Bandar