Khamis, 22 Mac 2012

Dengki, Hasad Menghasad Itu Meleburkan Persaudaraan

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيمِ

Apabila kita melihat ada saudara se-Muslim kita beroleh rezeki lebih dari kita, jangan dengki dan iri hati. Bergembiralah apabila saudara kita memperolehi sesuatu yang berharga, sepertimana jika kita mendapatkannya juga.

Nabi SAW bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang Muslim itu, sehingga ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri."
(HR al-Bukhari)

Manakala dalam sebuah hadith yang lain, Baginda bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga ia menyukai saudaranya memperolehi sesuatu yang ia sukai." (HR al-Bukhari)

Hidup ini seperti roda yang berputar, sekejap di atas sekejap di bawah. “Hari ini rezeki mereka, mungkin esok rezeki kita.” Bersyukurlah dengan kurnia yang telah Allah berikan kepada kita.
Firman Allah,

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".

(Surah Ibrahim : 7)

Jangan sombong
Jangan dengki
Itu semua, tidak disukai ALLAH

Jika impian atau keinginan kita masih belum tercapai, jalannya adalah berusaha untuk mengubah nasib diri dan beroleh rezeki yang melimpah ruah dengan cara yang diredhaiNya.

Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْۗ

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."

(Surah al-Ra'd : 11)

Selebihnya tawakal (berserah) pada Allah SWT. Ketahuilah, rezeki yang berkat walau pun sedikit, sentiasa mencukupi. Namun harus ingat, dalam kita mengejar nikmat dunia, jangan dilupa mengejar nikmat akhirat yang kekal abadi.

Jika kita mengejar dunia, hanya dunia yang kita akan perolehi, dan di akhirat kita akan kerugian. Tetapi jika kita mengejar akhirat, nikmat dunia dan akhirat yang akan mengejar kita. Dan di akhirat pasti kita akan beruntung.

Allah SWT berfirman:

مَن كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ

"Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya."

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُۖ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

"Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan."

(Surah Hud : 15-16)

Selagi yang bernama anak cucu Nabi Adam, sifat hasad menghasad, dengki mendengki pasti ada. Hanya bimbingan al-Quran dan as-Sunnah yang mampu mendidik hati nurani yang baik, tiada rasa dengki dan iri hati terhadap saudaranya. Paling penting, contohilah akhlak dan peribadi Nabi SAW. Imam An-Nawawi R.h. ada berkata,

"Akhlak yang baik sebahagian dari taqwa. Tanda sempurna iman, tidak ada padanya sifat-sifat mazmumah. Cara memperelokkan akhlak, mengambil qudwah dari Nabi SAW. Mempelajari sirahnya, cara adab dengan Allah, adab dengan sesama manusia, sesama keluarga dan para sahabat."

(Kitab Hadith 40)

Allah SWT berfirman:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)"

(Surah Al-Ahzab : 21)

Wallahu'alam.
Khairul Adli Abdullah
Biro Penerangan ABIM Melaka Bandar
http://adlyalkhair.blogspot.com

(Artikel ini telah disunting oleh saudara Yussamir Yusof
Penulis buku - "Hikmahnya Dakwah Rasulullah")

- Posted using BlogPress from my iPad





Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka Bandar