Rabu, 28 Mac 2012

Kes Khalwat Belia Paling Tinggi


GOMBAK – Tangkapan membabitkan kes khalwat masih mencatatkan angka tertinggi di antara kesalahan utama jenayah syariah direkodkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 2011 iaitu sebanyak 1,734 kes. Pegawai Hal Ehwal Jais, Ustaz Sharom Maarof berkata, statistik itu masih dianggap besar meskipun ia mencatatkan penurunan berbanding tangkapan kes sama pada 2010.

“Sebanyak 1,783 kes tangkapan dibuat pada 2010 dan kebanyakan mereka yang ditangkap khalwat berumur 20 hingga 30 tahun,” katanya pada Diskusi Isu Sosial Semasa (Diksi) Siri 3 anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di sini, semalam. Menurutnya, banyak faktor yang boleh menjadi penyumbang kepada khalwat antaranya pakej bayaran murah mengikut jam yang ditawarkan hotel bajet.

Beliau berkata, kesalahan lain yang sering dilakukan termasuklah berjudi di mana pada 2010, sebanyak 331 tangkapan dibuat dengan penurunan ketara dicatatkan pada 2011 apabila tangkapan yang dibuat hanya 75. “Lain-lain kesalahan termasuklah mabuk kerana minuman keras pula hanya 18 tangkapan dibuat pada 2011 berbanding tahun sebelumnya 96 kes dicatatkan,” katanya.

Berhubung masalah sosial dalam kalangan remaja pula, Profesor Fakulti Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Turiman Suandi berkata, ibu bapa masih berperanan besar dalam mendidik anak di rumah. “Masalah sosial paling banyak berlaku dalam kalangan remaja Melayu, jadi nilai agama harus diterapkan dari rumah dan ketua keluarga iaitu ayah perlu mengamalkan sembahyang berjemaah bersama keluarga selain makan bersama perlu dipraktikkan bagi membentuk keluarga yang harmoni dan taat perintah agama,” katanya.

Menurutnya, mungkin kedua-dua saranan ini nampak remeh namun ia berperanan besar bagi mengelak kejadian lari dari rumah, terjebak dalam dadah dan termasuk kes penceraian membabitkan suami isteri,” katanya.


- Posted using BlogPress from my iPad



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka Bandar